Cerpen Da'e Sejati

Dalam rintik-rintik hujan itu aku terus meluru bersama motor kapcai Asahi Shimbun syarikat surat khabar gergasi di Jepun.Kembali aku ke kedai Encik Taniguchi, ketua kedai pengedar surat khabar Asahi Shimbun cawangan Bandar Terayama, sebuah pekan kecil dalam daerah ini.

Encik Taniguchi menyambut aku sambil berkata,
"Kita ini penyampai surat khabar saja, entah ada orang baca atau tidak surat khabar yang kita sampaikan"

Aku diam saja sambil meletakkan kembali lebihan surat khabar yang mungkin sengaja dikira lebih oleh Encik Wakamoto, pembantu Encik Taniguchi pada subuh tadi.Aku tunggang semula motor kapcai milik syarikat itu untuk kembali ke rumah.Jam menunjukkan pukul 6 pagi.

Pagi itu aku letih amat.Ada 3 kelas menunggu aku 3 jam lagi. Tapi aku tak berdaya.Aku tidur dan terus tidur atas tilam empuk yang bertindih 3 futon usang.Mahasiswa pemalas tajaan kerajaan malaysia di bumi Jepun, akulah itu. Ada azan berkumandang dari corong speaker komputer di meja kecil kotatsu. Bawah meja itu ada pemanas.Aku terus tak endahkannya. Entah azan apa yang berkumandang. Zuhur? Asar? Maghrib? Atau..

Ya, sudah Isyak. Entah berapa jam aku tidur sejak pulang dari kerja pagi tadi. Aku pulang waktu gelap mahu terang sedikit, aku bangun ketika terang sudah tenggelam dan gelap gelita kembali meliputi.Aku melayar internet ke sana sini, membalas e-mel dan bersembang maya merapu meraban.Jam loceng aku berbunyi. Pejam celik pejam celik lagi sejam untuk aku kembali ke kedai Encik Taniguchi. Jam sudah pukul 4 pagi.

Hidup apa aku ini? Hidup sebagai penyampai surat khabar? Hancur segala cita-cita dan harapan umat yang aku galas selama ini. Aku sengaja musnahkan kerana jiwa kacau yang tak keruan berpanjangan. Penyampai apa aku ini? Penyampai apa?

Motor kapcai itu aku tujah dalam rintik-rintik hujan yang makin melebat.Pandangan aku jadi kabur.

Mata yang aku buka memang benar tidak menipu. Aku terlantar di hospital sambil muka aku membengkak, bibir aku koyak, hilang 3 batang gigi kacip, tangan dan kakiku patah riuk.Semua itu diceritakan secara lengkap dan tanpa rasa bersalah oleh Doktor Fusahashi.

Esok paginya Miyakaki Sensei datang menjenguk sambil minta aku turunkan tandatangan untuk pembedahan muka,kaki dan tangan. Miyakaki Sensei adalah penyelia pelajar asing di Universiti Awam Terayama. Beberapa senpai(senior) berdiri belakang sensei sambil bermuka muram.Beberapa kata-kata semangat datang bertimpa dari para kohai (junior) aku ke dalam keitai(handset) aku.

"Jangan putus asa untuk menjadi penyampai surat khabar"

Sms dari Encik Taniguchi.Seminggu selepas pembedahan, aku balas sms itu,

"Saya berhenti jadi penyampai kalam manusia (surat khabar), saya ingin jadi penyampai kalam Tuhan."

------------------------------------------------------------------

Idea penubuhan Musolla Terayama bukan idea aku.Ia adalah hasil mesyuarat dari orang-orang Pakistan,India dan Bangladesh di Masjid Terayama 30 minit dari kampus aku.

"Sudah tiba masanya di kawasan kampus Terayama lahirnya penggerak-penggerak agama" kata Rashid Bhai dalam mesyuarat.

Aku mengangguk sambil belakang aku diusap oleh Farhan Bhai sambil dia berkata,"kamu bukan keseorangan, aku bersama kamu"

aku menjawab,"Allah bersama kita"

------------------------------------------------------------------

Kemunculan kelibat-kelibat wira agama dalam dua tiga kohai aku buat aku merasa senang.Mereka yang menggerakkan solat jemaah, mereka yang menggerakkan usrah, mereka yang menggerakkan fikir agama di sini sebelum adanya musolla.

Tapi ternyata, keputusan program bukan di tangan mereka, para senpai yang menentukan halatuju jiwa dan cita-cita para ahli komuniti pelajar Malaysia di sekitar kampus Terayama ini.

"ana bukan tak mahu teruskan usrah malam ini, tapi senpai dah ajak main bowling.Enta bukan kohai lagi, enta bolehlah tak pergi. Lagipun dakwah kena asimilasi dengan aktiviti realiti. Bowling bukan haram, masa bowling pun boleh dakwah"

Ternyata akhirnya kohai itu menjadi pemain bowling yang handal. Kalau dulu dia hanya baling bola straight atas nama dakwah, kali ini dia cuba bola spin sehingga lupa tentang matlamat asal niatnya mem bowling.

"wira hidup dan mati.yang pergi takkan kembali" kata kohai aku yang kedua pula.

Ternyata kata-katanya itu menghanyutkan dia pula. Bisikan cinta dari kohai perempuan buat hatinya cair. Dia minta diri dari aku dari majlis ilmu yang kami susun, rupanya untuk menemani kekasihnya membeli belah di pasaraya berdekatan.

"beli barang dapur sekejap ya," kata dia.

Malam itu tak lagi kelihatan.

Aku terus termenung ke arah rumah senpai-senpai perempuan yang tersergam di depan mata aku.Rumah itu sebuah rumah usang, sewanya murah, 4 orang senpai perempuan tahun akhir kebetulan tinggal bersama. Lagi 3 bulan mereka akan bergraduasi, lagi 3 bulan cita-cita mendirikan Musolla Terayama akan tercapai.

-----------------------------------------------------------

Musolla Terayama jadi kenyataan. Namun ternyata cabarannya kuat.

Apa erti musolla jika tiada solat berjemaah di dalamnya?

"Kita adakan Halal Shop di Musolla, tentu ramai akan datang ke musolla untuk bersolat" cadang Sher Khan pelajar master di universiti kami. Musolla ini sudah antarabangsa sifatnya, di sini 7 negara kumpul bersama.

Halal Shop jadi kenyataan tapi orang yang solat masih sedikit.

"Nampaknya, memang ramai datang ke musolla, tapi mereka datang kerana Halal Shop bukan kerana solat jemaah" ulas Sher Khan selepas beberapa bulan.

"Kita adakan kenduri, setiap minggu" cadang Sufyan, dia sebaya aku.

Setiap minggu ramai berkumpul untuk makan kenduri di musolla. Tapi mereka datang sesudah habis salam solat jemaah isyak.

"Kami dah solat di rumah," kata Yakub.

"Nampaknya memang ramai datang ke musolla setiap minggu, tapi mereka datang ketika kenduri bermula bukan datang solat jemaah" ulas Sufyan beberapa bulan kemudian.

"Kita dah tak boleh nafikan, kita kena jadi penyampai," kata aku.

"sampaikan apa?" tanya Sufyan.

"sampaikanlah walau satu ayat" kata aku.

Aku senaraikan aktiviti seperti Masjid Terayama laksanakan. Cuma aku ringankan 5 amalan itu.

Masjid Terayama baca hadis Nabi iaitu taklim. 2 Taklim. 1 Taklim di masjid, 1 Taklim di rumah.

Aku buat 1 saja Taklim di Musolla.

Masjid Terayama buat mesyuarat setiap hari selepas Subuh. Aku buat mesyuarat selepas Isyak tapi hanya aku seorang bermesyuarat sendirian, kerana kohai ketiga aku berkata, "Mesyuarat bukan wajib, solat baru wajib"

Masjid Terayama habiskan 2 jam setengah untuk bertemu saudara-saudara mereka setiap hari secara berjemaah. Aku habiskan 5 minit ketuk satu rumah satu hari.

Masjid Terayama buat Dakwah Mingguan satu jemaah di tempat dekat, satu jemaah jauh sedikit, malam minggu beratus orang sekitar masjid berkumpul mendengar Ceramah Iman dan Amal. Aku buat dakwah ke pintu-pintu berjiran dengan musolla,tazkirah khas seminggu sekali, tapi yang dengar hanya 2 orang.

Masjid Terayama keluar berdakwah di bandar dan daerah lain sebulan sekali selama 3 hari. Aku cuba keluar hujung minggu, pergi pagi Sabtu, balik Ahad petang. Sebulan sekali aku buat.

Ternyata yang aktif mengikut program ini hampir sifar. Tak menarik agaknya program seperti ini.

Hari-hari berlalu begitu pantas, solat jemaah terus sepi, tapi Halal Shop terus maju.Akulah bilal, akulah imam, akulah makmum. Oh, mungkin semasa aku imam, Jin makmumku.

---------------------------------------------------------

Tahun ini diluar sangkaan. Kemunculan 8 orang kelibat kohai tahun satu memeranjatkan aku.

Taklim, Mesyuarat,Dakwah dari pintu ke pintu, Tazkirah Khas Mingguan, Dakwah Hujung Minggu semuanya disertai oleh 8 pemuda itu. Beza umur mereka dengan aku mungkin 4 tahun.

"Allah akan terus datangkan kemenangan buat para pejuangNya. Teruskan menyampai, Hidayah itu nanti kuasa ALLAH" hebat bicara kohaiku.

Ternyata, masa aku untuk tinggal di Jepun sudah sampai penamatnya. Beberapa jam lagi aku akan menerima Ijazah di Hari Graduasiku.

"apa yang kau paling seronok di hari graduasi ini?" tanya Megat padaku.

"aku sudah bergraduasi sebagai seorang penyampai dalam universiti taubat.aku akan menjadi penyampai dalam universiti kehidupan" jawabku.

Megat mengekek ketawa, entah dia paham atau tidak.

Hari itu aku memeluk seorang demi seorang , 8 kohai yang menggerak dan menghidupkan Musolla itu. Ternyata aku hairan mengapa mereka berjaya memikat hati penghuni Islam di Kampus Terayama itu. Solat jemaah penuh 5 waktu sehari semalam!

Yusuf wakil kohai itu berkata,
"Ternyata usaha dakwah ini hanya 10%, selebihnya adalah 90% dari doa dan pengharapan kepada Allah".

Oh, baruku tahu faktor kegagalanku selama ini. Berapa banyak solat tahajjudku di Musolla ini, berapa banyak air tangisan aku dalam solat malam itu, berapa basah janggutku dengan keinsafan, kehambaan dan pengharapan kepada Allah, berapa banyak doa aku pohon akan hidayah Allah turun di hati-hati manusia ini?

Nabi itu diutuskan hanya untuk menyampaikan. Tapi ternyata dalam menyampaikan itu baginda bukan saja menyebut dan blah. Tetapi baginda menyampaikan dengan penuh jiwa raga.Kerut fikir baginda dalam perjuangan menyampaikan itu, tangis esak baginda dalam perjuangan menyampaikan itu,risau sayang baginda dalam perjuangan menyampaikan itu, ummati,ummati,ummati, umatmu lupakanmu sedang kau mengingati kami.

Erti hidup pada menyampaikan.

Sampaikan saja, yang beri nanti adalah Allah. Allah beri hidayah, kita sampaikan peringatan. Sampaikanlah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang beriman.

Terima kasih kohaiku Yusuf. Kau asbab aku sampai pada kesedaran.
----------------------------------------------------

Kini, mulalah perjalanan aku ke tanah bumi bertuah Malaysia. Aku akan dirikan masjid di tanah ini yang menyatukan, aku akan mendirikan masjid yang diimarahkan, aku akan mendirikan masjid yang melahirkan.

Kapal terbang MAS yang ku naiki tiba-tiba bergoncang. Megat di sebelah aku dah kelam kelibut.

"Sayap kapal terbang patah! Sayap kapal terbang patah!"
jerit Megat sambil tertunjuk-tunjuk ke arah tingkapnya.

Kapal terbang itu meluru terjunam ke bawah sambil semua penumpang serentak menjerit "wah..!"

aku jerit takbir sehingga semuanya jadi senyap. Lalu aku sampaikan kalimah yang paling berat dari seluruh 7 dunia dan langit,

LA ILAHAILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH

Semua penumpang membutirkan kalimah itu secepat-cepat. Aku tersenyum.

Dulu aku penyampai, kini aku penyampai.Kini ajalku sudah sampai.

TEBABOM.


Cerpen diambil daripada blog yg tuannya x memerlukan sebarang kredit.. so aku ambil je dan copy paste dlm blog aku ni ha,.,.

STPM Melaka

MELAKA 25 Feb. - Sebanyak 964 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini berjaya memperoleh keputusan 4 prinsipal dalam semua mata pelajaran yang mereka ambil.

Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.40 peratus berbanding 2008 dan ia juga mengatasi peratus nasional sebanyak 11.46 peratus.

''Secara keseluruhannya, keputusan STPM bagi negeri ini pada 2009 adalah baik dengan 13 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus berbanding 10 buah pada 2008.

''Sebanyak 21 calon pula memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan mendapat 4 prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Daripada 21 calon itu menurut beliau, 10 orang adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka, SMK Gajah Berang (4), SMK Yok Bin (2) dan seorang masing-masing dari SMK Seri Kota serta SMK Abdul Rahman Yakub.

Secara keseluruhannya kata beliau, Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 0.30 peratus berbanding tahun 2008 dalam peperiksaan tersebut.

Pada tahun ini katanya, seramai 1,252 calon peratus telah mencapai kelulusan penuh atau sebanyak 96.31 peratus berbanding 1,204 calon dengan kelulusan 96.1 peratus pada 2008.

Katanya, bagi jumlah calon yang memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas ialah seramai 428 orang.

''PNGK negeri secara keseluruhan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 iaitu dari 2.42 peratus pada 2008 meningkat kepada 2.49 peratus pada 2009," katanya.

Mengenai prestasi sekolah pula, Isa berkata, bilangan sekolah yang lulus penuh 100 peratus juga meningkat dari 10 buah sekolah pada 2008 kepada 13 buah sekolah tahun lalu.

Sekolah tersebut ialah SMKA Sultan Muhammad, SMK Iskandar Shah, SMK Gajah Berang, SMK Tinggi Melaka, SMK Yok Bin, SMK Tinggi Perempuan, SMK Seri Mahkota, SMK Dato' Dol Said, SMK Teknik Melaka, SMK Dato' Haji Talib Karim, SMK Pulau Sebang, SMK Munshi Abdullah dan SMK Ghafar Baba.

''Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan yang baik.

''Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengetua dan guru yang memberikan komitmen tinggi bagi memastikan pelajar memperoleh keputusan cemerlang,"